Sunday, 9 December 2012

ღ Pesanan terakhir Rasulullah (Isi khutbah terakhir Rasulullah ღ


Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak diatas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah lemah dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah `ibadah Haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal solah.
Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
Banyak sungguh panduan yang ada dalam Khutbah Haji Wida’ yang semestinya menjadi panduan dan pedoman untuk seluruh umat Islam akhir zaman. Setelah mendengar khutbah haji wida’ hampir semua Para Sahabat telah bertebaran keseluruh pelusok  dunia untuk menyampaikan pesanan. Daripada 124ribu hanya sekitar 10ribu Para Sahabat yang kuburnya berada di Mekah dan Madinah selainnya berada bertebaran diseluruh dunia. Atas usaha dan pengorbanan para sahabat lah kita di Nusantara mendapat nikmat yang MAHA besar iaitu nikmat IMAN kepada ALLAH S.W.T.
Marilah kita berazam untuk taat perintah Allah dengan cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W untuk kejayaan di dunia dan akhirat.
              

Saturday, 1 December 2012

Hari niy nak share satu cita , tapii cita niy copy dari : Artikel iluvislam.com . 

Selepas UPSR, saya di hantar ke sekolah agama oleh ibu bapa. Bukan atas kehendak sendiri. Saya juga tidak membantah. Hanya kerana sepupu perempuan saya turut belajar di situ, saya tidak keberatan.
Saya juga pernah menghadiri temuduga untuk memasuki Kospint yakni Imtiaz sekarang. Hampa kerana tidak terpilih.
Seperti yang umum maklum, belajar di sekolah agama menuntut pelajar perempuan memakai tudung labuh. Saya ketika itu masih belum faham kenapa perlu memakai tudung labuh.
Adakah tudung segi tiga masih belum menutup aurat?
Tetapi, soalan itu hanya berlegar di fikiran. Tidak pernah diluahkan dan tidak pernah dikaji.
Timbul rasa jengkel juga di hati, '"selekehlah pakai tudung labuh", "nampak gemuk", "tak smart langsung".
Oleh sebab itu, apabila diadakan aktiviti sukan atau apa-apa aktiviti di luar waktu persekolahan, saya akan menyarung tudung segi tiga biasa menggantikan tudung besar itu. Saya kurang rasa bersalah kerana senior juga begitu.
Tiada lagi tudung labuh apabila menghadiri latihan kawat pada waktu petang, atau latihan untuk hari sukan kerana tiada seorang pun guru yang menegur. Kalau ada pun, bukan saya yang ditegurnya. Saya rasa selamat untuk memakai tudung segi tiga.
Begitu juga apabila keluar dari asrama, selain daripada outing pada waktu persekolahan, terutama apabila bersiar-siar dengan keluarga atau kawan-kawan, saya tidak pernah sekalipun memakai tudung labuh sekolah apatah lagi mahu mempunyai koleksi tudung labuh yang lain. Sungguh waktu itu, tudung labuh bagi saya adalah kolot. Ketinggalan zaman.
Bermula dari tingkatan satu hinggalah tingkatan tiga, tiada input yang saya dapati sama ada dalam waktu persekolahan atau selepas waktu persekolahan berkenaan kebaikan memakai tudung labuh. Tiada sesiapa pun yang menceritakan kepada kami mengapa para pelajar perempuan di sekolah ni diwajibkan pakai tudung labuh.
Yang ada hanya guru yang menyindir kami dengan kata-kata:
"Korang ni bila kaki dah langkah luar pagar sekolah, tudung labuh entah ke mana, baju ketat, seluar ketat, tudung kecik". Saya hanya mencebik. Apa salahnya tudung kecil!
Di mata saya tudung labuh hanya dipakai oleh ustazah. Tetapi, pemikiran itu berubah sedikit apabila guru Sains saya memakai tudung labuh juga. Tetapi, saya malas memikirkan tentang perihal tudung labuh ini.
"Yang penting aku dah tutup aurat sepenuhnya, ok lah".
Meskipun spotcheck tudung selalu dilakukan, kami tidak pernah serik. Undang-undang sekolah kami tidaklah seketat sekolah agama yang gah dan hebat yang lain. Tudung pelajar perempuan tidak boleh atas daripada paras siku.
Peraturan ini boleh diterima lagi kerana ada sekolah yang mewajibkan tudung pelajarnya mesti bawah pergelangan tangan. Tetapi, para pelajar yang "rimas" telah dididik oleh para seniorsupaya memendekkan tudung dalam erti kata yang lain, tudung yang labuh diubah suai agar ianya atas daripada siku.
Bagi kami, tudung sebegini nampak lebih kemas. Stok tudung labuh tetap ada untuk kecemasan yakni spotcheck. Hanya dipakai apabila tersebar khabar angin bahawa pagi itu akan dilakukan spotcheck.
Usai keputusan PMR diumumkan, saya mendapat tawaran ke sebuah MRSM di pantai timur. Alhamdulillah. Bolehlah keluar dari kongkongan sekolah agama ni. Mimpi saya ialah peraturan akan lebih longgar, pelajar boleh pakai apa-apa sahaja yang disukai, ber'couple' tidak akan jadi halangan, pendek kata moden.
Tetapi, impian itu bertukar 180 darjah. Kami diwajibkan solat Subuh, maghrib dan Isyak secara berjemaah, diwajibkan memakai stoking apabila keluar dari asrama, dilarang ber'couple', tidak boleh memakai scarf kepala yang menutup hanya separuh, track suit yang mencekik di bahagian bawah dilarang sama sekali, handsock diwajibkan.
Tambahan lagi, di dalam kelas pelajar perempuan mestilah duduk belakang pelajar lelaki menyerupai saf dalam solat, tudung yang jarang akan dihukum, tudung yang tidak melebihi bahu akan di denda, seakan-akan peraturan bertambah ketat berbanding sekolah agama saya dahulu.
Dan tentunya peraturan ini sebenarnya telah termaktub sebagai perintah Allah S.W.T sendiri. Cuma tidak diperincikan sahaja. Allah S.W.T menyuruh kita menutup seluruh anggota badan kecuali tangan dan muka. Maknanya, kaki juga aurat wahai diri. Peraturan ini dianggap mengongkong bagi pelajar yang jiwanya masih terbelenggu dengan dosa termasuk saya.
Tetapi, Alhamdulillah jauh di sudut hati saya, saya mengagumi peraturan ini. Seolah-olah Allah S.W.T  ingin menjaga kami para pelajar wanita daripada terjerumus dalam dosa. Allah S.W.T  ingin menjaga kami daripada pandangan jahat lelaki berhati kotor. Allah S.W.T  ingin mendidik kami ke arah lebih solehah.
Bermulanya detik saya mengenali Allah S.W.T lebih dekat. Majlis-majlis ilmu yang dihadiri mula membuka hati saya yang tepu dengan dosa. Selain itu, ada beberapa senior yang bertudung labuh yang membuatkan hati saya terdetik:
"Kenapa mereka memilih pakai tudung labuh sedangkan MRSM tidak mewajibkan pelajarnya bertudung labuh".
Kagum. Mereka satu dalam sejuta. Permata di celahan kaca.
Satu kejutan apabila melihat seorang sahabat yang baru dikenali ketika orientasi yang pada awalnya bertudung segi tiga secara drastik bertukar kepada tudung labuh. Lalu, saya bertanya mengapa. Beliau dahulu bersekolah agama, ceritanya lebih kurang seperti saya.
Katanya, hatinya terdetik untuk berubah apabila menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zolkolnain Singah, ustaz yang kami kagumi, berkenaan mayat seorang lelaki yang berusia 18 tahun di Timur Tengah yang digali semula selepas tiga jam untuk dibedah siasat. Meskipun hanya tiga jam berada dalam liang lahad, mayatnya hampir tidak dikenali.
Rambutnya beruban, mulutnya dipenuhi darah, riak wajahnya ketakutan seolah-olah baru melihat sesuatu yang dahsyat, matanya tersembul keluar, tulang rusuknya patah seolah-olah dipukul oleh sesuatu, badannya dipenuhi darah dan lebam kesan paluan! La haulawala quwwata illa billlah.
Ayahnya memaklumkan apabila ditanya bahawa anaknya itu sepanjang hidupnya tidak pernah solat, minum arak, dan berzina. Lalu terdetik dalam hati sahabat saya andai kata beliau mati, apakah sudah bersedia dengan amalan yang dilakukan?
Adakah auratnya sudah sempurna ditutup?
Perubahan yang dirasakan agak payah tetap dilaksanakan demi kematian yang bakal menjelma. Ya, sahabat sekeliling memandangnya dengan kehairanan. Tetapi, semangatnya utuh.
Di awal tahun tingkatan lima, kami diwajibkan menyertai Kem Jati Diri yang menuntut kami beraksi lasak. Memanjat, berkayak, berenang dalam lumpur, berlari, mengangkat beban, denda kami adalah push up.
Saya terfikir bagaimana sahabat saya yang bertudung labuh itu menghadapi semua ini. Bayangkan dalam lumpur, dengan tudung labuhnya, dia masih kental beraksi. Saya kagum.
Lalu, saya mula mencari sebab kenapa perlu bertudung labuh. Allah S.W.T telah mengilhamkan. Meskipun saya bertudung seperti kebanyakan orang lain, yakni tudung segi tiga yang bagi saya sudah menutup aurat, tetapi saya berasa rimas dan takut untuk berada di hadapan lelaki.
Tudung saya tidak menutup sepenuhnya bahagian belakang. Seolah-olah mereka nampak apa yang sepatutnya mereka tidak nampak. Iaitu tali baju dalam. Maaf kerana agak peribadi. Tetapi ya, saya langsung tidak selamat. Apatah lagi jika memakai baju yang jarang dan nipis.
Satu lagi sebab, meskipun tudung saya melepasi dada, tetapi andai kata angin bertiup kencang, tudung akan terselak lalu dengan mudahnya dada kelihatan. Lalu saya meneliti kakak-kakak yang bertudung labuh, apabila tudung mereka ditiup angin, ia masih tidak menampakkan dada mereka. Kerana tudung itu labuh lalu ia menutupi bahagian sisi dada mereka. Subhanallah.
Ditakdirkan kami sekelas ketika tingkatan lima. Waktu itu saya mula mengubah cara pemakaian tudung sedikit demi sedikit. Daripada tudung bawal ke arah tudung cotton yang tebal.
Kemudian beralih ke tudung bidang 60. Terdetik juga mahu memakai shawl. Pendek kata saya masih mencari identiti. Tetapi di sekolah, saya tetap bertudung segi tiga kecil. Masih belum berani untuk konsisten.
Sehinggalah suatu ketika, entah kenapa, saya tiba-tiba teringatkan tudung labuh saya yang dipakai sewaktu sekolah agama dahulu yang kini hanya terperuk dalam almari. Lalu, saya meminta ibu mengirimkan tudung tersebut kerana saya mahu menjahit tudung labuh saya sendiri.
Bermakna saya mahu memakai tudung labuh. Keinginan itu disuarakan kepada ibu dan kepada sahabat saya tadi. Mereka gembira. Saya mendapat semangat. Lalu proses menjahit siap cuma tinggal mahu memakai ataupun tidak.
Tiba waktu prep, saya meminta roommate menemani saya menuju ke kelas. Alhamdulillah, kami tidak bertembung dengan sesiapa pun waktu itu. Saya selamat tiba ke kelas. Pandangan pertama sahabat sekelas tidak akan dilupakan.
Rasa malu menyelubungi lalu saya menyendiri di satu sudut untuk seketika. Tetapi sahabat sekelas saya ibarat adik-beradik sendiri, mereka berpura-pura tidak perasan akan perubahan itu demi menjaga hati saya. Lalu, prep pun berjalan seperti biasa. Saya tidak rasa janggal lagi.
Bermula dari hari itu, beberapa sahabat juga telah mula bertudung labuh, tetapi kami masih golongan minoriti. Beberapa pelajar lelaki yang mungkin tidak tahu kerap mengusik dengan kata-kata yang lebih kurang, "kaya betul lah korang, banyak duit nak beli kain!""boleh buat sapu lantai lah kalau macam ni", "wei, ustazah, ustazah!".
Ketika kami masih "diusik", Allah S.W.T telah menenangkan hati kami melalui tulisan Fatimah Syarha dalam kolum beliau menerusi majalah Solusi. Masih saya ingat tajuknya "Corat-coret Kisah Tudung Labuh".
Pengalaman Fatimah Syarha bertudung labuh menaikkan lagi semangat kami untuk istiqomah. Lalu, saya dan sahabat terus menfotostat kolum itu dan ditampal ke semua kelas. Sebagai usaha kami membela wanita yang bertudung labuh.
Kelegaan yang amat. Bermula dari hari itu, kami kurang menerima usikan-usikan mereka.
Terima kasih Allah S.W.T kerana memberi ilham kepada Fatimah Syarha untuk menulis tentang tudung labuh. Hebatkan Allah S.W.T!
Kuncinya hanya satu, jika kita berubah kerana manusia, perubahan itu tidak akan kekal. Jika berubah kerana Allah S.W.T, tidak kira banyaknya dugaan, kita akan tetap konsisten. Insya-Allah.
Semoga pengalaman yang biasa ini dapat membantu.